Saturday, August 23, 2014

Perodua Kancil Jadi Rumah Tiga Beranak


MELAKA: Seorang ibu tunggal bersama dua anak perempuannya terpaksa tidur dalam kereta Perodua Kancil kira-kira dua minggu kerana tidak mampu menyewa rumah.

Keadaan itu terpaksa dilalui Siti Hajar Ismail, 35, bersama anaknya, Siti Zubaidah Zubaidi, 8 dan Siti Zulaikah, 6, selepas dia diberhentikan kerja sebagai pembantu kedai makan di Taman Merdeka di sini.

Siti Hajar berkata sebelum ini, mereka menumpang di rumah sepupu di Tanjung Minyak sebelum mengambil keputusan keluar kerana tidak mahu membebankan keluarga saudaranya setelah dia kehilangan kerja.


"Saya terpaksa membawa anak-anak tidur di dalam kereta kira-kira enam hari sebelum saya tumpangkan mereka semula di rumah sepupu saya, tapi saya terus tidur di dalam kereta," katanya kepada pemberita di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka baru-baru ini.


Katanya, dia tidur dalam kereta yang diparkir di depan rumah rakannya di Taman Merdeka selain menumpang mandi di situ.

Siti Hajar berkata dia juga tidak mampu memperbaharui cukai jalan kereta yang tamat tempoh pada 8 Ogos lepas namun terpaksa menggunakan kenderaan itu untuk mencari pekerjaan dan berjumpa anaknya.

Katanya, situasi itu menyebabkan Siti Zubaidah tidak dapat bersekolah kerana dia tidak mampu menyiapkan keperluan anak sulungnya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Parit Melana Durian Tunggal, Alor Gajah.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka Amir Hamzah Aziz berkata pihaknya telah menguruskan penginapan sementara untuk Siti Hajar dan anaknya di Asrama Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka di Lorong Pandan di sini.


"Mereka boleh mula tinggal di asrama itu hari ini (Khamis) sementara pihak Lembaga Perumahan Melaka menyediakan sebuah rumah di Kampung Padang di sini dalam masa terdekat," katanya.


Beliau berkata Siti Hajar juga akan diberi bantuan memulakan perniagaan francais menjual kuih pau di bawah program Jana Pendapatan 1Azam Kerja 'Pakej Perniagaan Pau Rizqi' bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Orang ramai yang ingin membantu Siti Hajar boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB di 0141 2002 0786 524. 

Friday, August 15, 2014

5 beranak berhimpit di ruang tamu

Bachok: Selepas lima kali berpindah-randah, seorang ibu tunggal 12 anak, akhirnya memilih rumah usang satu bilik untuk berteduh dengan sewa RM150 sebulan.

Nang Nura Long Deraman, 48, berkata, dia memilih rumah itu yang terletak di Kampung Panjang, Tawang, dekat sini, kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih mahal.

Dengan hanya menjual kuih tradisional untuk menampung hidup, Nang Nura memperoleh pendapatan RM300 sebulan.
“Saya tiada pilihan lain kerana ini saja yang kami mampu. Memandangkan bilik yang satu itu pun makin uzur dimakan anai-anai, maka kami anak beranak tidur berhimpit di ruang tamu.

“Dengan pendapatan sekadar cukup untuk sewa dan makan, saya tak dapat beri kehidupan lebih selesa kepada anak, malah bumbung yang sudah bocor juga tidak lagi dibaiki hingga kini,” katanya.

Wanita cekal itu berkata, disebabkan enggan anaknya terabai, dia turut membenarkan sebahagian anak dijaga bekas suami yang tinggal di Kampung Kubang Kiat, yang terletak berhampiran.
Katanya, terdapat juga beberapa anaknya yang sudah mendirikan rumah tangga dan tidak lagi bergantung kepadanya.

“Kini yang tinggal dengan saya hanya empat anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Nang Nura berkata, anak istimewanya, Fadli Ridzuan, 30, mengalami kecacatan bisu dan pekak perlu sentiasa diperhatikan.

Selain itu, dia juga mempunyai masalah kesihatan dan pernah menjalani pembedahan membuang tonsil pada 27 Disember 2012.

“Ada juga anak saya sakit lelah dan mempunyai ketumbuhan dalam hidung. Namun selepas menerima rawatan di klinik, kami biasanya tidak berulang ke sana lagi kerana tidak cukup wang.

“Malah untuk makan seharian pun berjimat cermat kerana tidak mahu keputusan bekalan,” katanya.

Dia turut runsing mengenangkan nasib anaknya Nur Zuzila Zulkifli, 18, yang juga ibu tunggal dan kini hamil enam bulan.

Dia berharap ada pihak membantu meringankan bebannya termasuk menyedia keperluan membuat kuih untuknya berniaga secara kecil-kecilan. - myMetro 15/8/2014