Saturday, December 6, 2014

Tujuh sekeluarga hidup daif



ZAITON (kanan) menyenduk nasi yang hanya berlaukkan budu kepada empat orang anaknya, (dari kiri) Nur Aleeya Qistina, Nur Mashitah, Mohd. Hakim dan Nor Ain Athirah di rumah mereka di Kampung Puteri Saadong, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Meskipun hidup dalam serba kedaifan, sebuah keluarga di Wakaf Che Yeh di sini tidak menjadikan kesulitan itu sebagai penghalang untuk mereka terus berikhtiar bagi memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai.
Seorang tukang rumah, Mohd. Zulkifli Abdullah, 45, terpaksa menjual motosikalnya dan tong gas untuk membeli generator bagi membolehkan anak-anaknya mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.
Katanya, sudah setahun rumah mereka bergelap kerana bekalan elektrik telah dipotong kerana dia tidak mampu membayar tunggakan bil sebanyak RM2,000.
Keadaan lebih malang apabila bapa kepada enam anak itu kini menderita ketumbuhan di perut manakala isterinya, Zaiton Mamat, 41, yang bekerja di kedai kain terpaksa diberhentikan kerana syarikat mahu mengurangkan pekerja.

Thursday, November 20, 2014

Ibu tunggal mohon bantuan


1) SLUG: SBH_OKUKOTA BELUD 19 Nov 2014 - Dr. Joshua (kanan) meninjau
Joshua GILING (tiga dari kanan) melihat keadaan Eldy sambil ditemani Buhu Tongkisus (kiri) sewaktu rombongan itu melawat keluarga ibu tunggal tersebut di Kampung Takulung, Mukim Losou, Kota Belud, Sabah, baru-baru ini.
KOTA BELUD 19 Nov. – “Sudah jatuh ditimpa tangga”. Demikian gambaran kehidupan seorang ibu tunggal, Buhu Tongkisus, 40, dari Kampung Takulung Mukim Losou, Kota Belud di sini.
Baru kehilangan suami tercinta kira-kira dua bulan lalu, Buhu tidak dapat keluar bekerja kerana terpaksa menjaga anak kesayangannya, Eldy Timbun, 6, yang menghidap penyakit kronik selain merupakan kanak-kanak yang tergolong dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).
Bagi Buhu, dia pasrah dengan apa yang menimpa dirinya selain berazam untuk tidak akan mengabaikan tanggungjawab menjaga Eldy yang mengalami sindrom kepala besar serta menderita akibat kekurangan zat makanan.
Walaupun menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan bagi menampung keperluan penjagaan rapi Eldy, namun jumlah itu tidak mencukupi.
“Saya pula tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga Eldy sepenuhnya. Selepas suami meninggal, kehidupan kami bergantung kepada bantuan kebajikan serta derma orang ramai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bakti Kadamaian, Dr. Joshua Giling menggesa pihak-pihak tertentu tampil membantu pesakit kronik, warga emas dan OKU agar dapat meneruskan kelangsungan hidup seperti insan lain.
Kata beliau, kebanyakan pesakit yang ditemui mengadu mereka tidak berupaya mendapatkan pemeriksaan susulan disebabkan faktor kewangan.
“Selain itu rata-rata mereka ini tidak mempunyai sumber pendapatan disebabkan tidak bekerja, tua selain gagal mendapat bantuan,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan dan pemeriksaan perubatan ke atas Eldy, Joshua memberitahu, kanak-kanak malang itu menghidap penyakit Hydrocephalus yang agak stabil, namun menghadapi masalah kekurangan zat makanan.
“Kebersihan Eldy juga terabai kerana ibunya tidak mampu membeli lampin pakai buang, makanan tambahan dan suplemen lain,” katanya.

Monday, October 27, 2014

Jasmin Nur perlukan kos RM30,000


  • Keadaan Jasmin Nur Qomar di NICU, HRPB di sini.Keadaan Jasmin Nur Qomar di NICU, HRPB di sini.
 1 / 2 
IPOH - Seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan bantuan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM30,000.

Jasmin Nur Qomar Ahmad Nazri dilahirkan pra matang pada 11 Ogos lalu bukan sahaja mengalami komplikasi jantung malah tiada saluran najis, anak bongsu daripada dua beradik itu turut menghidap sindrom down.
Pendapatan bulanan sebagai kerani dan pembantu stor yang diperolehi ibu bapanya, Raihan Kamaruddin, 36, dan Ahmad Nazri Md Rejab, 38, tidak cukup untuk menampung kos pembedahan anak mereka itu.

Ahmad Nazri ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi Neonat (NICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkata, pada mulanya doktor memberitahu anak mereka tidak mempunyai saluran najis ketika lahir.

Menurutnya, sehari selepas dilahirkan, doktor melakukan pembedahan untuk saluran najis sementara.

“Kemudian pada hari sama, kami dimaklumkan anak kami mempunyai masalah jantung dan turut disahkan sindrom down oleh doktor.

“Pihak hospital segera merujuk Insititut Jantung Negara (IJN) untuk tindakan lanjut dan pada 21 Ogos lalu kami ke sana untuk kali pertama bagi tujuan imbasan jantung.

“Anak kami diberikan bekalan ubat namun selepas sebulan mengambil ubat berkenaan anak kami masih tidak pulih,” katanya.
Katanya, mereka sekali lagi ke IJN pada 30 September lalu dan doktor memberitahu anak perempuan mereka perlu melakukan pembedahan segera bagi membetulkan saluran injap (patent ductus arteriosus-PDA).

“Kos pembedahan adalah sebanyak RM30,000 dan kami kini hanya menunggu panggilan dari IJN untuk mengesahkan tarikh pembedahan yang dijangka dilakukan pada minggu hadapan jika kesihatan anak perempuan kami mengizinkan,” katanya.

Ahmad Nazri berkata, pembedahan susulan akan dilakukan jika pembedahan pertama berjaya.

“Jika pembedahan ini berjaya, anak kami akan menjalani pembedahan jantung kedua (atrioventricular septal defect (AVSD)) di IJN dan seterusnya pembedahan untuk membuat saluran najis di HRPB.
Pembedahan itu hanya dilakukan jika berat badan anak kami mencecah lima kilogram.

“Setakat ini, kami belum memperoleh kos sebenar untuk dua pembedahan susulan itu,” jelasnya lagi.

Dia berkata, setakat ini mereka telah mengumpul hampir RM20,000 hasil usaha rakan-rakan mereka yang membuka akaun Facebook khas ‘Jasmin Nur Qomar’ serta mengadakan jualan amal bagi membantu mengutip dana.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan sentiasa bersama-sama berdoa supaya anak kami sembuh serta dapat hidup seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.- SINAr\R HARIAN 27/10/14

Monday, October 20, 2014

Perlu RM30,000 untuk saraan di Jerman


  • Muhammad Akmarul Haikal yang ditemani ibunya, Naima menemui Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah bagi mendapatkan bantuan.Muhammad Akmarul Haikal yang ditemani ibunya, Naima menemui Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah bagi mendapatkan bantuan.
 1 / 1 
MELAKA - Ibu kepada seorang kanak-kanak menderita masalah usus sejak dilahirkan memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 sebagai kos saraan mereka sepanjang menjalani rawatan selama dua minggu di sebuah hospital pakar di Munich, Jerman.

Naima Yuzi, 31, dari Taman Sri Duyong 2 di sini berkata, setakat ini, kos rawatan anaknya, Muhammad Akmarul Haikal Affizan, 8, ditanggung sepenuhnya oleh hospital di sana menerusi program kerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaysia.

Menurutnya, cuma yang diperlukan kini adalah kos saraan untuk dia dan suami serta seorang lagi anaknya yang berusia 5 tahun ke Jerman dijadualkan berangkat pada November depan.

“Anak saya disahkan mengalami ‘Chron’s Disease’ iaitu sejenis penyakit usus yang terkeluar. Keadaan itu mengakibatkan dia tidak dapat membuang air besar secara normal sementara perutnya membengkak serta punggungnya bernanah.

“Sewaktu dilahirkan dia mengalami muntah-muntah dan perutnya membuncit tetapi pada awalnya doktor kata ia normal. Sehingga usianya enam bulan, dia kerap demam dan keluar darah.

“Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur selepas beberapa bulan menjalani rawatan di Hospital Melaka,” katanya semalam.

Naima yang tidak bekerja berkata, akibat penyakit itu, Muhammad Akmarul Haikal juga tidak pernah bersekolah dan dia perlu memberi tumpuan 100 peratus kepada anak sulungnya yang tidak mampu menguruskan diri itu.

Malah katanya, pendapatan keluarga terpaksa bergantung kepada suaminya, Affizan Sarif, 32, yang bekerja sebagai pembantu keselamatan di Malaysia Airport Berhad.

“Pendapatan suami sebulan cuma RM1,475 manakala saya pula tidak bekerja. Nasib baik ada sedikit bantuan daripada JKM sebanyak RM220 sebulan manakala Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut menghulurkan bantuan pesakit kronik RM150 sebulan,” katanya.

Tambahnya, dia juga juga bersyukur kerana majikan suami, turut prihatin apabila selama ini membiayai kos rawatan kimoterapi anaknya manakala pihak hospital di Jerman menanggung kos rawatan, pengangkutan dan penginapan.

“Cuma yang saya bimbangkan adalah soal perbelanjaan harian lain sewaktu di sana, termasuk keperluan anak saya seperti susu khas, lampin pakai buang, stoma bag serta bekalan vitamin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya juga akan memohon bantuan serta sumbangan daripada pihak tertentu bagi kos membiayai perbelanjaan keluarga terbabit di Jerman.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah berbuat demikian menerusi akaun Maybank bapa kanak-kanak ini, Affizan Sarif 154026355020. - SH

Sunday, October 12, 2014

Ramai simpati nasib Mahathir


  • Abu Ubaidah (tiga, kanan) menyampaikan bantuan kepada Sheikh Mahathir ketika melawat keluarga berkenaan, semalam.Abu Ubaidah (tiga, kanan) menyampaikan bantuan kepada Sheikh Mahathir ketika melawat keluarga berkenaan, semalam.
 1 / 2 
SEREMBAN - Nasib seorang lelaki yang hidup melarat bersama tiga anak kecil akibat terpaksa berhenti kerja selepas ditinggalkan isterinya, akhirnya mendapat perhatian pelbagai pihak.     

Sheikh Mahathir Hassan, 33, dan tiga anak mereka, Saifuldin Hakimie, 6, Saifuldin Nazamie, 4, dan Saifuldin Azimanamani, 2, menerima bantuan, antaranya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pelajaran yang segera turun padang selepas menerima laporan mengenai keluarga berkenaan.

Adun Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, bantuan itu dilakukan sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung Sheikh Mahathir.

"Saya difahamkan, JKM akan memberi bantuan bulanan kepada Sheikh Mahathir bagi membantu meringankan bebannya dalam membesarkan anak-anak. Manakala Jabatan Pelajaran pula akan membantu mendaftarkan persekolahan untuk anak sulungnya yang mula bersekolah tahun depan.

"Malah, orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga itu turut menghulurkan sumbangan seperti barangan keperluan, pakaian dan wang tunai,” katanya ketika memberi sumbangan kepada Sheikh Mahathir di rumahnya di Taman NZ, Jalan Senawang - Paroi, di sini semalam.

Abu Ubaidah yang juga Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri berkata, beliau juga akan cuba mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk tempat tinggal bagi empat beranak itu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Isteri lari ikut kekasih gelap]

Sementara itu, pasukan Bomba dan Penyelamat Senawang turut turun padang membersihkan kawasan sekitar serta rumah sewa Sheikh Mahathir, semalam.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pihaknya tersentuh dengan nasib menimpa lelaki terbabit bersama anak-anaknya yang masih kecil.

“Seramai lapan pegawai dan anggota membersihkan rumah serta kawasan sekitar yang dipenuhi dengan semak samun,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Mahathir ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantunya.

Semalam, Sinar Harian menyiarkan kisah keperitan Sheikh Mahathir yang ditinggalkan isterinya sejak setahun lalu selepas wanita itu dikatakan menjalinkan hubungan dengan lelaki lain yang dikenalinya menerusi Internet.