KULIM - Tabung Aman Palestin Kedah menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM500,000 menjelang hujung Oktober ini berikutan sambutan semakin memberangsangkan daripada rakyat di negeri ini.
   
Pengurus Aman Palestin Kedah Mohd Nazmi Kamarol Zaki berkata sehingga kini kutipan wang dana untuk tabung itu yang dilakukan sejak awal tahun ini berjumlah RM440,000 dan pihaknya mendapat panggilan daripada pelbagai pihak di Kedah untuk menyerahkan kutipan yang telah dipungut di daerah-daerah.
  
Mohd Nazmi bercakap kepada Bernama selepas menerima dana RM10,000 yang merupakan sebahagian daripada kutipan yang dikutip melalui Program Jualan Garaj Gaza anjuran penyewa premis perniagaan, Mara Daerah Kulim dan badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
  
"Dalam usaha meningkatkan dana berkenaan kami berhasrat menganjurkan pertandingan futsal golongan belia peringkat negeri, daerah dan mukim serta dalam kalangan pekerja kilang yang akan diadakan November ini," katanya.
  
Pegawai Daerah Kulim Datin Sepiah Isa yang merasmikan majlis tersebut menyampaikan cek kutipan dana berkenaan kepada Mohd Nazmi.
  
Terdahulu Sepiah turut melancarkan upacara membakar bendera Israel sebagai tanda bencikan kekejaman Yahudi di bumi Palestin.
  
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Program Jualan Garaj Gaza Noraida Yahya berkata pihaknya akan terus menjual saki-baki pakaian dan barang-barang seperti pinggan mangkuk yang ada dan hasil jualannya akan dihulurkan kepada tabung Palestin. - Bernama