Baru kehilangan suami tercinta kira-kira dua bulan lalu, Buhu tidak dapat keluar bekerja kerana terpaksa menjaga anak kesayangannya, Eldy Timbun, 6, yang menghidap penyakit kronik selain merupakan kanak-kanak yang tergolong dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).
Bagi Buhu, dia pasrah dengan apa yang menimpa dirinya selain berazam untuk tidak akan mengabaikan tanggungjawab menjaga Eldy yang mengalami sindrom kepala besar serta menderita akibat kekurangan zat makanan.
Walaupun menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan bagi menampung keperluan penjagaan rapi Eldy, namun jumlah itu tidak mencukupi.
“Saya pula tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga Eldy sepenuhnya. Selepas suami meninggal, kehidupan kami bergantung kepada bantuan kebajikan serta derma orang ramai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bakti Kadamaian, Dr. Joshua Giling menggesa pihak-pihak tertentu tampil membantu pesakit kronik, warga emas dan OKU agar dapat meneruskan kelangsungan hidup seperti insan lain.
Kata beliau, kebanyakan pesakit yang ditemui mengadu mereka tidak berupaya mendapatkan pemeriksaan susulan disebabkan faktor kewangan.
“Selain itu rata-rata mereka ini tidak mempunyai sumber pendapatan disebabkan tidak bekerja, tua selain gagal mendapat bantuan,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan dan pemeriksaan perubatan ke atas Eldy, Joshua memberitahu, kanak-kanak malang itu menghidap penyakit Hydrocephalus yang agak stabil, namun menghadapi masalah kekurangan zat makanan.
“Kebersihan Eldy juga terabai kerana ibunya tidak mampu membeli lampin pakai buang, makanan tambahan dan suplemen lain,” katanya.