Monday, June 16, 2014

Tiga beradik tumpang kasih nenek

  • Ketiga-tiga anak Rosmawati tinggal bersama Maziah di Kampung Padang Tenggala.Ketiga-tiga anak Rosmawati tinggal bersama Maziah di Kampung Padang Tenggala.
 1 / 1 
WARTAWAN SINAR HARIAN

TEMERLOH – Tiga beradik malang terpaksa menumpang kasih nenek buat sementara waktu apabila ibu kandung yang menjadi tempat berteduh, terlantar koma selepas terlibat kemalangan jalan raya ketika ke tempat kerja.

Nurul Nabila Hazranizam, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tualang tidak menyangka gurauan ibunya yang berpesan supaya menjaga adiknya beberapa hari sebelum kemalangan, membawa petanda malang buat dirinya dan dua adiknya.

Menceritakan kejadian, Nurul Nabila berkata, pada hari kejadian kira-kira jam 7.30 malam 10 Jun lalu, ibunya Rosmawati Mohd Mahidin, 32, menunggang motosikal untuk ke tempat kerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Seberang Temerloh di sini.

“Saya dapat tahu ibu kemalangan daripada pakcik saya. Ibu terlanggar longgokan batu yang dibuang sebuah lori yang menjalankan kerja membuat jalan.

“Sejak hari itu hingga semalam, saya terpaksa menjaga ibu kerana ayah gagal dihubungi sejak enam bulan lalu. Saya dan pakcik serta makcik bergilir-gilir menjaga ibu. Doktor beritahu ibu koma dan mengambil masa yang lama untuk pulih,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya dekat Kampung Padang Tenggala di sini semalam.

Nurul Nabila berkata, sejak kejadian itu, dia dan adiknya Nurul Elya Syafina, 6, dan Syabil Nazrin, 5, terpaksa menumpang di rumah neneknya.

Bapa saudaranya Azhar Teh Seman, 44, berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan adil supaya pihak bertanggungjawab yang membuang lebihan batu pembinaan di atas jalan raya dekat Masjid Seberang Temerloh dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu neneknya, Maziah Omar, 68, berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan berkaitan dapat membantu memberi bantuan bagi belanja persekolahan dan belanja harian cucunya yang malang itu.

“Saya harap kerajaan sedia menimbang permohonan ini untuk cucu-cucu saya yang masih bersekolah,” katanya yang masih bekerja sebagai tukang sapu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Maziah di talian 017-9119658 atau sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maziah 06400-2900037470-9 (BSN).

No comments:

Post a Comment