Friday, July 25, 2014

Bertekad bantu ubah keluarga


Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


“WALAUPUN kaki saya tinggal sebelah tetapi saya masih boleh panjat pokok mempelam”. Itulah kata-kata gurauan daripada seorang gadis yang secantik namanya, Nooraishah Arshad.
Remaja berusia 16 tahun ini merupakan pesakit kanser tulang dan terpaksa mengorbankan kaki kanan gara-gara penyakit itu telah merebak di bahagian bawah lutut tanpa disedarinya.
Mengimbau kembali memori hitam dalam hidupnya, anak keenam daripada 10 beradik ini memberitahu, nasib malangnya itu hanya disedari selepas insiden terjatuh ketika bersukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang, Kuala Kangsar pada 2012.
“Selepas jatuh saya tidak boleh berdiri dengan betul dan terjatuh semula. Selepas beberapa hari kaki saya semakin membengkak dan ayah kemudian membawa saya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Doktor kemudian mengesahkan saya menghidapi kanser tulang serta memaklumkan bahawa ia telah merebak sehingga ke bawah lutut dan perlu dipotong pada Februari tahun sama,” katanya menyeka kesedihan daripada terlihat di kaca mata.
Terkejut dengan nikmat yang diambil secara tiba-tiba tanpa sebarang petanda, Nooraishah kemudian berubah menjadi seorang yang mudah marah dan baran.
Mana tidaknya, Nooraishah memberitahu dia sebelum ini merupakan gadis yang aktif dalam bidang sukan di sekolah, terutama dalam acara memanah.
Sehingga awal tahun lalu, prestasi Nooraishah dalam sukan itu semakin baik dan mencapai jarak sasaran 70 meter. Namun, baru-baru ini dia terpaksa berhenti daripada terus membuat latihan gara-gara mudah pengsan.

REMAJA ini tidak putus harapan walaupun kini terpaksa bergantung pada tongkat.


“Saya difahamkan oleh doktor bahawa ia adalah kesan akibat rawatan kimoterapi yang dijalani selama enam bulan pada 2013.
“Keputusan pemeriksaan lanjutan mendapati penapis lapisan buah pinggang saya semakin menipis dan menyebabkan kenaikan paras bahan toksin urea dalam darah,” katanya menambah berita mendukacitakan itu secara tidak langsung memaklumkan tentang potensi kerosakan buah pinggang yang mungkin akan dialaminya.
Dalam pada itu, Nooraishah turut bergelut dalam pembelajarannya. Walaupun sedar keadaan dirinya sudah berubah, Nooraishah tidak pernah berputus asa dalam menagih ilmu daripada rakan-rakan sekelas yang kerap datang ke rumahnya.
Pendidikan
Apabila bertanya tentang apa yang mendorong dirinya untuk tidak mengabaikan pelajaran, remaja manis ini memberitahu bahawa dia percaya kejayaan dalam pendidikan boleh merubah taraf kehidupan dia sekeluarga.
“Rumah ini sudah tua, jika adik-adik berlari di dalam rumah, papan akan berbunyi-bunyi seperti hendak roboh, malah saya juga terasa setiap hentakan kaki mereka. Jadi, tidak ada apa lagi yang menggembirakan hati saya jika dapat memberikan sebuah rumah yang selesa buat keluarga.
“Oleh itu, saya perlu belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat universiti supaya suatu hari nanti dapat menjawat jawatan profesional dan membela nasib kami sekeluarga,” jelasnya sambil memegang kaki palsu yang disumbangkan oleh Majlis Kanser Nasional.
Memahami perasaan kecewa anaknya, Arshad Atan, 50, membanting tulang mencari duit lebih untuk membelikan sesuatu yang dapat menggembirakan hati Nooraishah.
SETIAP pagi Nooraishah akan menggunakan kaki palsunya untuk ke sekolah.


Ujar nelayan ini, dia sentiasa menerima apa sahaja kerja-kerja yang boleh dilakukan untuk memastikan anaknya itu tidak murung.
“Pendapatan bulanan sebagai nelayan bukanlah besar sangat, apatah lagi saya bekerja dengan orang dan perlu menyara 11 ahli keluarga. Ada masanya saya pula tidak dapat turun ke laut kerana perlu membawa Nooraishah ke hospital bagi tujuan pemeriksaan lanjutan kesihatan. Kos untuk pergi dan balik dari HKL menelan belanja kira-kira RM200.
“Jadi, demi memastikan anak-anak cukup makan dan Nooraishah kembali ceria, saya membuat pelbagai kerja sampingan seperti memotong buah sawit dan meracun lalang. Saya turut mengasingkan sedikit wang untuk membeli sebuah gitar permintaan Nooraishah bagi merawat dukanya,” ujarnya memberitahu sebelum ini keluarganya pernah mendapat bantuan sebanyak RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor selama enam bulan pada 2010.
Menceritakan pengalaman sepanjang menjaga anaknya yang seperti baru belajar berjalan, Arshad memberitahu pernah satu ketika anaknya itu terjatuh ke dalam longkang di luar rumah sewaktu hendak ke sekolah.
Jelasnya, ketika kejadian dia diselubungi rasa bersalah dan terus memeluk Nooraishah selama 20 minit sambil meminta maaf.
“Luluh hati saya melihat anak saya terjelepok ke dalam longkang. Saya terus berlari dan memeluk dia sambil menangis serta berdoa agar dia tidak tercedera.
“Doktor telah berpesan kepada saya dan isteri bahawa Nooraishah tidak boleh terjatuh kerana takut membawa risiko seperti kakinya,” jelasnya sambil mengesat air mata.
Tabah
Betapa pun, ibunya, Robaayah Abd. Rahman, 45, berkata, Nooraishah tidak boleh tidur seorang diri dan perlu ditemani, lebih-lebih lagi dengan keadaan rumahnya yang uzur dan bocor apabila hujan.
“Keadaan bumbung di ruang tamu itu telah dibaiki oleh suami, namun kembali bocor. Jadi saya dan suami terpaksa membantu Nooraishah berpindah ke dapur dan meneruskan tidur kami di situ. Ruang di dalam bilik telah ditempatkan untuk enam anak-anak yang masih kecil.
“Apa lagi yang boleh dibuat memandangkan rumah ini juga bukan milik kami, tetapi disewa dengan kadar RM200 sebulan,” jelasnya pasrah.
Walaupun keadaan dirinya sudah berubah, namun Nooraishah tetap menjalankan tanggungjawabnya mengajar adik-adik mengaji.


Bagaimanapun, nasib keluarga ini mula mendapat perhatian orang ramai apabila menerima bantuan sebanyak RM10,500 menerusi dana Program Merisik Khabar, anjuran Permanis Sdn. Bhd. (Permanis).
Menurut Naib Presiden Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Permanis, Hemalatha Ragavan, program tersebut diadakan bagi membawa perubahan kepada kehidupan golongan yang kurang bernasib baik.
“Kempen ini telah dilancarkan pada 2010 dengan harapan dapat memberikan peluang dan sinar harapan kepada mereka yang dihimpit kesulitan dalam kehidupan.
“Kami akan menyalurkan 10 sen daripada setiap jualan botol minuman Revive Isotonik 1.5L atau Pepsi 1.5L kepada dana Merisik Khabar. Sehingga kini, lebih RM300,000 telah berjaya diberikan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Sementara itu, memastikan bantuan diberi dapat terus dinikmati sekeluarga, Arshad mengambil keputusan untuk membeli sebuah bot sepanjang 3.6 meter dan peralatan memancing.
Ia bagi membolehkan dirinya mencari rezeki lebih tanpa mengira masa dan mudah menguruskan hal-hal perubatan Nooraishah kerana tidak lagi terikat dengan majikannya. - KOSMO 25/7/2014

No comments:

Post a Comment