Thursday, July 3, 2014

Ibu tunggal hidap sakit saraf rayu bantuan

KUANTAN 3 Julai - Jika kedatangan bulan Ramadan diraikan oleh umat Islam dengan meriah, namun suasana demikian tidak dirasai seorang ibu tunggal, Suzana Abd Rahman yang menghidap penyakit saraf sejak empat tahun lepas.

Penyakit yang dihidapinya itu menyebabkan Suzana, 48, bekas pembantu kedai makan, tidak boleh berdiri lama, cepat penat dan kadang-kadang percakapannya tidak jelas.

Beliau yang kini terlantar di rumah terpaksa membesarkan tiga orang anak perempuannya yang berusia tiga hingga 19 tahun termasuk seorang anaknya pesakit Sindrom Down, Nur Salwa Abdul Aziz, 6, dalam serba kepayahan.

"Kami berbuka dengan apa yang ada sahaja. Tidaklah seperti orang lain, tapi kami reda sebab itu rezeki yang Allah beri pada kami sekeluarga.

"Air mata telah kering, hidup mesti diteruskan. Jika dahulu masa mula-mula saya diuji dengan penyakit saraf dan ditinggalkan suami, sekarang saya harungi hari-hari mendatang dengan reda demi anak-anak yang saya kasihi," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Suzana kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan mengharapkan ehsan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat yang diterima iaitu kira-kira RM600 sebulan lantaran tidak lagi mampu bekerja.

"Jumlah itu kalau diikutkan memang tidak mencukupi, dengan kos rawatan kira-kira RM150 dan ditambah sewa rumah RM120 sebulan. Namun saya dan anak-anak saya cuba berjimat cermat dan berbelanja ikut kemampuan," katanya.

Katanya, anak sulungnya, Nur Qhairatul Niesha Noor Hazni juga terpaksa berhenti daripada pengajiannya di sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan kerana tidak lagi mampu menanggung yuran pengajiannya.

Sehubungan itu orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Suzana boleh memberikan sumbangan menerusi nombor akaun 163028554838 (Maybank) atau hubungi Suzana di talian 010-5766306. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140703/dn_30/Ibu-tunggal-hidap-sakit-saraf-rayu-bantuan#ixzz36PKEZd4w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment