• Keadaan Jasmin Nur Qomar di NICU, HRPB di sini.Keadaan Jasmin Nur Qomar di NICU, HRPB di sini.
 1 / 2 
IPOH - Seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan bantuan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM30,000.

Jasmin Nur Qomar Ahmad Nazri dilahirkan pra matang pada 11 Ogos lalu bukan sahaja mengalami komplikasi jantung malah tiada saluran najis, anak bongsu daripada dua beradik itu turut menghidap sindrom down.
Pendapatan bulanan sebagai kerani dan pembantu stor yang diperolehi ibu bapanya, Raihan Kamaruddin, 36, dan Ahmad Nazri Md Rejab, 38, tidak cukup untuk menampung kos pembedahan anak mereka itu.

Ahmad Nazri ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi Neonat (NICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkata, pada mulanya doktor memberitahu anak mereka tidak mempunyai saluran najis ketika lahir.

Menurutnya, sehari selepas dilahirkan, doktor melakukan pembedahan untuk saluran najis sementara.

“Kemudian pada hari sama, kami dimaklumkan anak kami mempunyai masalah jantung dan turut disahkan sindrom down oleh doktor.

“Pihak hospital segera merujuk Insititut Jantung Negara (IJN) untuk tindakan lanjut dan pada 21 Ogos lalu kami ke sana untuk kali pertama bagi tujuan imbasan jantung.

“Anak kami diberikan bekalan ubat namun selepas sebulan mengambil ubat berkenaan anak kami masih tidak pulih,” katanya.
Katanya, mereka sekali lagi ke IJN pada 30 September lalu dan doktor memberitahu anak perempuan mereka perlu melakukan pembedahan segera bagi membetulkan saluran injap (patent ductus arteriosus-PDA).

“Kos pembedahan adalah sebanyak RM30,000 dan kami kini hanya menunggu panggilan dari IJN untuk mengesahkan tarikh pembedahan yang dijangka dilakukan pada minggu hadapan jika kesihatan anak perempuan kami mengizinkan,” katanya.

Ahmad Nazri berkata, pembedahan susulan akan dilakukan jika pembedahan pertama berjaya.

“Jika pembedahan ini berjaya, anak kami akan menjalani pembedahan jantung kedua (atrioventricular septal defect (AVSD)) di IJN dan seterusnya pembedahan untuk membuat saluran najis di HRPB.
Pembedahan itu hanya dilakukan jika berat badan anak kami mencecah lima kilogram.

“Setakat ini, kami belum memperoleh kos sebenar untuk dua pembedahan susulan itu,” jelasnya lagi.

Dia berkata, setakat ini mereka telah mengumpul hampir RM20,000 hasil usaha rakan-rakan mereka yang membuka akaun Facebook khas ‘Jasmin Nur Qomar’ serta mengadakan jualan amal bagi membantu mengutip dana.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan sentiasa bersama-sama berdoa supaya anak kami sembuh serta dapat hidup seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.- SINAr\R HARIAN 27/10/14