• Muhammad Akmarul Haikal yang ditemani ibunya, Naima menemui Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah bagi mendapatkan bantuan.Muhammad Akmarul Haikal yang ditemani ibunya, Naima menemui Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah bagi mendapatkan bantuan.
 1 / 1 
MELAKA - Ibu kepada seorang kanak-kanak menderita masalah usus sejak dilahirkan memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 sebagai kos saraan mereka sepanjang menjalani rawatan selama dua minggu di sebuah hospital pakar di Munich, Jerman.

Naima Yuzi, 31, dari Taman Sri Duyong 2 di sini berkata, setakat ini, kos rawatan anaknya, Muhammad Akmarul Haikal Affizan, 8, ditanggung sepenuhnya oleh hospital di sana menerusi program kerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaysia.

Menurutnya, cuma yang diperlukan kini adalah kos saraan untuk dia dan suami serta seorang lagi anaknya yang berusia 5 tahun ke Jerman dijadualkan berangkat pada November depan.

“Anak saya disahkan mengalami ‘Chron’s Disease’ iaitu sejenis penyakit usus yang terkeluar. Keadaan itu mengakibatkan dia tidak dapat membuang air besar secara normal sementara perutnya membengkak serta punggungnya bernanah.

“Sewaktu dilahirkan dia mengalami muntah-muntah dan perutnya membuncit tetapi pada awalnya doktor kata ia normal. Sehingga usianya enam bulan, dia kerap demam dan keluar darah.

“Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur selepas beberapa bulan menjalani rawatan di Hospital Melaka,” katanya semalam.

Naima yang tidak bekerja berkata, akibat penyakit itu, Muhammad Akmarul Haikal juga tidak pernah bersekolah dan dia perlu memberi tumpuan 100 peratus kepada anak sulungnya yang tidak mampu menguruskan diri itu.

Malah katanya, pendapatan keluarga terpaksa bergantung kepada suaminya, Affizan Sarif, 32, yang bekerja sebagai pembantu keselamatan di Malaysia Airport Berhad.

“Pendapatan suami sebulan cuma RM1,475 manakala saya pula tidak bekerja. Nasib baik ada sedikit bantuan daripada JKM sebanyak RM220 sebulan manakala Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut menghulurkan bantuan pesakit kronik RM150 sebulan,” katanya.

Tambahnya, dia juga juga bersyukur kerana majikan suami, turut prihatin apabila selama ini membiayai kos rawatan kimoterapi anaknya manakala pihak hospital di Jerman menanggung kos rawatan, pengangkutan dan penginapan.

“Cuma yang saya bimbangkan adalah soal perbelanjaan harian lain sewaktu di sana, termasuk keperluan anak saya seperti susu khas, lampin pakai buang, stoma bag serta bekalan vitamin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya juga akan memohon bantuan serta sumbangan daripada pihak tertentu bagi kos membiayai perbelanjaan keluarga terbabit di Jerman.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah berbuat demikian menerusi akaun Maybank bapa kanak-kanak ini, Affizan Sarif 154026355020. - SH