Monday, May 5, 2014

Bayi menderita sakit jantung berlubang

  • Bayi menderita sakit jantung berlubangDazma (dua, kiri) ketika melawat Rizqi. Turut kelihatan Ramiza (duduk, tengah) dan Shahrulnizam (tiga, kanan).
 1 / 1 
PETALING JAYA - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Demikian luahan perasaan Ramiza Mohd Hamdan, 28, ibu kepada bayi berusia setahun yang menderita sakit jantung berlubang sejak dia dilahirkan.

Bayi malang itu, Muhammad Rizqi Shahrulnizam yang lebih mesra disapa Rizqi perlu menjalani pembedahan jantung secepat mungkin, namun kos yang mencecah RM60,000 membuatkan Ramiza dan suaminya hampir terduduk.

"Sebelum ni Rizqi pernah menjalani pembedahan membesarkan saluran najis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan kos RM15,000. Sekarang dia perlu menjalani rawatan penyakit jantung berlubang di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Ramiza berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan doktor sebelum ini mengesahkan terdapat dua lubang besar pada jantung Rizqi.

“Rizqi tak ada dua pembuluh injap untuk disalurkan ke jantung dan doktor kata, salah satu daripadanya boleh diganti dengan pembuluh injap dari lembu.

“Manakala bagi injap kecil, ia boleh diganti dengan pembuluh injap khinzir,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut bapa Rizqi, Shahrulnizam Shahruddin, 33, kos pembedahan sebanyak RM60,000 itu amat tinggi, apatah lagi mereka perlu menanggung tiga anak lain.

"Saya ambil upah jadi pemandu lori saja. Isteri saya pula jual nasi lemak setiap petang di kawasan rumah kami di Flat Desa Ria, Taman Medan. Adalah beberapa badan swasta dan wakil rakyat beri bantuan, namun masih tak cukup nak tampung kos pembedahan anak saya.

“Doktor jangka pembedahan bulan ini, tapi pertemuan dengan IJN masih belum dibuat untuk tentukan tarikh sesuai," katanya.

Menurut Shahrulnizam, Rizqi juga turut mengalami cacat telinga dan kedua belah kakinya juga pernah disimen sebanyak lapan kali sebelum ini.

Begitupun, katanya, Rizqi juga anak istimewa kerana mempunyai 12 jari tangan sejak dilahirkan.

“Doktor pernah cadangkan suruh potong, tapi kami tak setuju. Bagi kami itu satu pemberian ALLAH yang sangat hebat," katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Petaling Jaya telah menganjurkan lawatan oleh Exco Pemuda Umno, Dazma Shah Daud yang turun padang bagi melawat bayi malang berkenaan.

Menurut Dazma, pihaknya akan merujuk kepada IJN bagi membantu mencari penyelesaian dalam mendapatkan peruntukan untuk kos menjalani pembedahan berkenaan.

“Nasib bayi ini amat malang dan saya akan cuba membantu semampu boleh bagi membolehkan Rizqi menjalani pembedahan itu,” katanya.

Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin menyampaikan bantuan bolehlah berhubung Ramiza di talian, 012-2517002.

Mereka juga boleh membuat derma ikhlas  menerusi akaun bank CIMB: 12600005446209 atas nama Ramiza Mohd Hamdan.

No comments:

Post a Comment