Saturday, May 10, 2014

Kasih suami pada isteri sakit

  • Kasih suami pada isteri sakitZainudin (kiri) menyuapkan ubat buat isterinya, Sazlina di bilik sewa terbabit.
 1 / 1 
ALOR SETAR - Demi kasihkan isterinya, seorang lelaki sanggup mengorbankan segalanya demi memastikan wanita orang kurang upaya (OKU) ini sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Zainudin Zainun, 49, tabah meskipun perlu menyuapkan isterinya makan, malah ada kalanya terpaksa memandikannya sejak dia mula terlantar sakit akibat masalah kesihatan.

“Hanya tinggal kami berdua sahaja. Tiada siapa lagi boleh dijadikan sandaran untuk menjaga isteri sakit. Jadi, saya terpaksa berhenti kerja kerana bimbangkan keadaan dirinya.

“Isteri, Sazlina Salleh, 38, memiliki penyakit kencing manis dan darah tinggi. Lebih membimbangkan, apabila masalah buah pinggangnya didakwa makin kronik,” katanya.

Jadi, katanya, isterinya mula terlantar dan asyik terbaring sahaja di bilik sewa mereka di Lorong Titi Siam, dekat sini, selepas dimasukkan ke hospital tiga minggu lepas.

“Bukan tidak terniat bekerja semula. Malah, seandainya ada kerja yang mengizinkan isteri dibawa bersama, saya ingin merebut peluang demi sesuap nasi kami,” katanya.

Sazlina berkata, situasi tidak mengizinkan sedemikian memaksa mereka bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Zakat sebanyak RM400 untuk menampung kos sara hidup.

Manakala, katanya, Bantuan OKU Tak Bekerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 juga sememangnya tidak mencukupi menyara perbelanjaan mereka.

Katanya, kos perubatan dirinya mencecah RM 50 untuk membeli peralatan seperti jarum pesakit kencing manis dan susu khas, itu belum termasuk kadar sewa bilik.

Menurutnya, mereka hanya mampu menyewa sebuah bilik dengan kos sewa RM100 sebulan kerana tidak berkemampuan, yang tidak hanya teramat kecil, malah kurang menyelesakan.

Sebelum ini, mereka didakwa pernah menjadikan Stesen Bas Shahab Perdana, dekat sini, sebagai tempat tinggal selepas merempat akibat dihalau keluar dari rumah sewa.

Justeru, katanya, mereka berdua merayu bantuan termasuklah untuk mendapatkan sebuah tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat didiami berbanding sedia ada ini.

Dalam pada itu, sesiapa yang ingin meringankan beban pasangan suami isteri terbabit bolehlah melakukannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Sazlina (02100-29-00064442-1). 100514 SH

No comments:

Post a Comment