Saturday, May 3, 2014

Jom pakat tolong kakak ni

  • 'Syukur ada sudi membantu'Laporan Sinar Harian Isnin lalu.
 1 / 1 
PADANG PULUT – DUNGUN. “Saya bersyukur pada ALLAH jika benar-benar ada orang nak tolong kami.”

Demikian luahan ibu muda, Zaharah Ismail, 28, yang hidup dalam kedaifan di sebuah pondok berdinding kanvas buruk dan berlantaikan tanah, di sini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, sejak Sinar Harian menyiarkan mengenai kisah dia sekeluarga, banyak pihak datang menemuinya termasuk ahli politik dan pegawai kerajaan daripada agensi berkaitan.

Sedangkan sebelum ini katanya, tiada sesiapapun mempedulikan masalah menghimpit keluarganya, malah tidak kurang ada yang menghinanya kerana tinggal di dalam pondok buruk.

"Pelbagai soalan diajukan pada saya, tidak kurang juga yang mempersoalkan tindakan saya mendedahkan kisah hidup dalam akhbar (Sinar Harian) sehingga dikatakan menjejas kredibiliti pihak tertentu," katanya.

Menurut Zaharah, bagi pihak yang memandang dengan mata kasar, mereka tidak merasai keperitan terpaksa dia lalui, namun tiada kata-kata dapat dia luahkan untuk menggambarkan kisah hidupnya selain reda dengan ujian ALLAH SWT.

“Ada pihak kata saya tak layak terima bantuan. Jadi kalau orang macam saya yang tinggal dalam pondok sedaif ini tidak layak, golongan bagaimana pula yang layak?

“Kalau saya berkemampuan, takkanlah saya nak hidup dalam keadaan seperti ini dan menagih simpati orang ramai," katanya.

Bagaimanapun, Zaharah berkata, walaupun hidupnya miskin, namun dia tidak hanya bergantung pada simpati orang lain untuk menyara kehidupan.

Sebaliknya kata Zaharah, dia berusaha dengan menjual kuih di Pasar Dungun untuk mencari nafkah dan pendapatan diperolehnya itu digunakan untuk perbelanjaan sekolah dua anak yang kini belajar di Sekolah Kebangsaan Padang Pulut.

Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) memaklumkan sudah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga berkenaan.

Maidam juga difahamkan bersetuju untuk menanggung kos sewa rumah jika Zaharah ingin berpindah ke rumah baharu, selain mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan lain diperlukan keluarga berkenaan.

Manakala, Adun Bukit Besi, Roslee Daud pula memaklumkan, beliau akan turun padang untuk menyiasat kebenaran dakwaan itu dan menyalurkan bantuan kepada keluarga Zaharah mengikut keperluan.

No comments:

Post a Comment