Thursday, May 22, 2014

Tak boleh cakap, lumpuh tiba-tiba

  • WARTAWAN SINAR HARIAN
    22 Mei 2014

  • Tak boleh cakap, lumpuh tiba-tibaShukri sebagai ketua keluarga yang jatuh sakit secara tiba-tiba hanya terlantar menyebabkan keluarganya hilang sumber pendapatan utama.
 1 / 1 
SUNGAI PETANI - Seorang pengawal keselamatan mengalami detik cemas apabila secara tiba-tiba tidak dapat bercakap dan lumpuh dalam sekelip mata.

Shukri Saad, 52, yang bekerja di Bakar Arang didapati jatuh sakit ketika sedang bekerja 7 April lalu apabila menghubungi isterinya namun tidak dapat menerangkan apa yang telah berlaku kepadanya.

Isteri mangsa, Che Rohaida Ramli, 43, berkata, dia meminta anak ke tempat kerja sebelum mendapati Shukri dalam keadaan aneh dan hanya mendiamkan diri apabila ditanya.

“Sebelum keluar bekerja dia tidak mengadu sakit dan bercakap seperti biasa,” katanya.

Menurut Che Rohaida, sejak hari itu, suaminya tidak dapat bercakap dan hanya terlantar sejak pulang menerima rawatan.

“Doktor mengesahkan suami lumpuh sebelah kanan, dia juga tidak mampu berkata-kata dan hanya baring sahaja sepanjang masa,” katanya.

Katanya, empat dari sembilan anak berusia antara tiga hingga 23 tahun masih bersekolah manakala seorang berada di kolej kejururawatan.

“Setakat ini, punca pendapatan keluarga tidak menentu dan kini reda dengan ujian ALLAH SWT kepada keluarga kami,” katanya.

Menurutnya, suaminya dulu bekerja sebagai kerani akaun di Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) dan bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Kedah serta pernah menerima pingat daripada Sultan Kedah tidak lama dulu.

Sementara itu, Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya bersimpati dengan keluarga berkenaan dengan menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada keluarga itu melalui sumbangan barangan keperluan harian.

No comments:

Post a Comment